PENGUMUMAN

Kami percaya bahawa pencipta mestilah diraikan kerana suara dan perspektif mereka yang unik tidak sepatutnya direncatkan oleh peniru dan penyamar.
Baru-baru ini, kami telah melancarkan inisiatif jangka panjang untuk menjadikan Suapan lebih relevan dan membantu kejayaan pencipta kandungan sahih, bermula dengan membasmi kandungan spam. Kami sedang mencapai kemajuan - dalam separuh pertama tahun 2025, kami telah mengambil tindakan terhadap kira-kira 500,000 akaun yang terlibat dengan tingkah laku spam atau penglibatan palsu. Langkah-langkah yang diambil termasuk menurunkan kedudukan komen dan mengurangkan penyebaran kandungan mereka bagi menghalang akaun tersebut daripada menjana pendapatan. Kami juga telah mengalih keluar lebih 10 juta profil yang menyamar sebagai pengeluar kandungan besar.
Namun, masih banyak yang perlu dilakukan. Terlalu kerap meme atau video yang sama muncul berulang kali - kadangkala daripada akaun yang berpura-pura sebagai pencipta dan ada daripada akaun spam yang berbeza. Keadaan ini menjejaskan pengalaman pengguna secara keseluruhan dan menyukarkan kemunculan suara-suara baharu.
Untuk menambah baik Suapan anda, kami memperkenalkan langkah-langkah yang lebih tegas bagi mengurangkan kandungan tidak asli pada Facebook dan pada akhirnya, melindungi serta mengangkat pencipta yang berkongsi kandungan asal.
Apakah itu kandungan tidak asli?
Kandungan tidak asli menggunakan semula atau mengubah suai kandungan pencipta lain secara berulang tanpa memberikan kredit, sekali gus mengambil kesempatan terhadap kreativiti dan usaha keras mereka.
Kami suka apabila pencipta berkongsi semula kandungan, menambahkan komen dalam video reaksi atau menyertai trend dan mengutarakan pandangan unik mereka. Perkara yang ingin kami banteras ialah penyiaran semula kandungan berulang kali daripada pencipta lain tanpa keizinan atau peningkatan yang bermakna.
Membasmi akaun yang berkongsi kandungan tidak asli
Kini kami memperkenalkan langkah-langkah yang lebih tegas untuk membanteras tingkah laku ini pada Facebook. Akaun yang menggunakan semula kandungan orang lain seperti video, foto atau siaran teks secara tidak wajar dan berulang bukan sahaja akan kehilangan akses kepada program pengewangan Facebook untuk suatu tempoh, malah akan mengalami pengurangan pengedaran bagi semua perkongsian kandungan.
Selain itu, jika sistem kami mengesan video pendua pada Facebook, kami akan mengurangkan pengedaran salinan supaya pencipta asal boleh mendapat pemaparan yang sepatutnya. Kami juga sedang menerokai cara untuk memberikan atribusi yang betul kepada pencipta. Sebagai contoh, kami menguji penambahan pautan pada video pendua yang menghalakan penonton kepada bahagian kandungan asal.

Amalan terbaik untuk memaksimumkan potensi kandungan anda
Untuk memastikan persediaan kandungan mampu meraih kejayaan pada Facebook, sila ikut amalan terbaik ini:
Siarkan kandungan asal. Halaman dan profil menerima pengedaran tertinggi apabila kebanyakan elemen terdiri daripada kandungan asal yang anda rakam atau cipta. Anda boleh berkongsi kandungan yang sama pada mana-mana Halaman atau profil anda.
Buat penambahbaikan bermakna. Anda boleh menggunakan kandungan yang anda mendapat kelulusan daripada sumber lain asalkan anda menjadikan kandungan itu milik anda melalui pengeditan kreatif dan penambahan suara latar atau ulasan. Penambahbaikan ini mestilah bermakna—mencantumkan klip atau menambahkan tera air anda sahaja tidak layak dianggap sebagai peningkatan yang bermakna.
Sampaikan cerita. Penceritaan yang tulen lebih menyentuh hati penonton dan berkemungkinan mencapai prestasi yang lebih baik. Walaupun anda boleh berkongsi apa-apa video panjang pada Facebook, elakkan video yang terlalu pendek dan tidak memberikan nilai kepada penonton.
Elakkan tera air. Elakkan penggunaan tera air pihak ketiga yang boleh dilihat dan kandungan yang jelas sekali digunakan semula daripada aplikasi atau sumber lain.
Gunakan kapsyen berkualiti tinggi. Pastikan kapsyen dan hashtag anda berhubung kait dengan kandungan. Kami mendapati bahawa kapsyen tanpa pautan, penggunaan huruf besar yang minimum dan tidak lebih daripada lima hashtag mempamerkan prestasi terbaik.
Kami akan melancarkan perubahan ini secara beransur-ansur dalam beberapa bulan akan datang untuk memastikan pencipta dapat melaksanakan peralihan dengan lancar.
Fahami isu yang mempengaruhi pengedaran kandungan anda
Jika anda menghadapi masalah untuk memahami sebab kandungan anda tidak diedarkan pada Facebook, lihat wawasan tahap siaran kami yang baru dilancarkan dalam Papan Pemuka Profesional yang boleh membantu anda memahami sebab kandungan anda mungkin tidak diedarkan dengan lebih baik.

Kini anda juga boleh mengetahui jika anda menghadapi risiko syor kandungan atau penalti pengewangan dalam skrin utama Sokongan, yang boleh diakses daripada menu utama Halaman atau profil profesional anda. Semak status anda dengan kerap untuk memastikan anda boleh terus menjana pendapatan dan berkembang.




Komitmen berterusan kami untuk memperkasakan pencipta sahih
Facebook bertujuan untuk menjadi tempat kandungan asal berkembang pesat, manakala pencipta diberikan ganjaran atas usaha dan kreativiti mereka. Nantikan lebih banyak kemas kini tentang usaha kami untuk menyokong pencipta seperti anda.