Amalan Terbaik
17 Jun 2024
Jangan Biarkan Perniagaan Anda Menjadi Mangsa: Lindungi Akaun Facebook Anda Daripada Pemancingan Data

Hari ini, kami menyediakan wawasan tentang pemancingan data - perihal dan cara melindungi akaun Facebook anda daripada pemancingan data.
Pemilik perniagaan yang memiliki akaun Facebook mempunyai banyak urusan yang perlu dibuat. Menyiapkan senarai gaji, menghantar produk, mengambil pekerja baharu dan banyak lagi.
Namun dalam kesibukan harian, penting untuk sentiasa berwaspada dalam melindungi syarikat dan pelanggan anda daripada penipu.
Kebanyakan penipu ini menggunakan teknik yang dikenali sebagai pemancingan data untuk mencuri kata laluan dan data peribadi serta perniagaan anda, dan banyak lagi. Penipuan ini selalunya mengakibatkan perniagaan kehilangan akses kepada akaun Facebook mereka. Hal ini boleh menyebabkan organisasi anda gulung tikar.
Facebook komited untuk membantu anda melindungi perniagaan anda daripada ancaman ini. Dalam artikel ini, kami akan:
- Menerangkan serangan pemancingan data
- Membantu anda melindungi data dan akaun Facebook anda daripada serangan pemancingan data
- Menyediakan cara mendapatkan bantuan jika anda menjadi mangsa pemancingan data
Apakah itu pemancingan data?
Pemancingan data ialah amalan yang menyasarkan seseorang dengan komunikasi atau laman web yang direka bentuk agar kelihatan sah. Tujuannya adalah untuk menipu orang ramai supaya mendedahkan maklumat sensitif seperti butiran kelayakan log masuk, nombor kad kredit atau maklumat peribadi lain.
Semasa serangan pemancingan data, penipu (juga dikenali sebagai pelaku jahat) mungkin cuba:
- Mengumpan anda agar mendedahkan kata laluan supaya mereka boleh mengakses maklumat dan akaun anda
- Mengumpan anda agar melawat halaman pendaratan yang mengelirukan supaya mereka boleh menjangkiti peranti anda dengan perisian hasad atau memperdayakan anda agar memberikan butiran kelayakan akaun anda
- Mengambil alih akaun Facebook anda dan menghantar spam kepada pelanggan/pengikut anda dengan kandungan yang tidak diingini atau tidak sesuai pada suapan anda
Serangan pemancingan data amat berbahaya kerana tidak terpencil pada satu perkhidmatan dalam talian sahaja. Tindakan mengklik pada suatu pautan bersifat penipuan boleh mengakibatkan kehilangan kawalan ke atas peranti atau pelayar anda atau akaun e-mel, yang kemudiannya boleh digunakan untuk memancing data keluarga, rakan dan pelanggan anda - memberikan kesan negatif kepada anda dan perniagaan anda.
Pemancingan data melanggar dasar Keselamatan Siber Meta dan kami bekerja keras untuk menghalang mesej pemancingan data daripada sampai kepada pengguna kami. Walau bagaimanapun, terdapat juga langkah mudah yang boleh anda ambil untuk membantu anda melindungi diri daripada serangan pemancingan data, dan cara untuk mengenali kedua-dua tanda percubaan pemancingan data dan tanda bahawa anda mungkin telah menjadi mangsa serangan.
Apakah tanda-tanda serangan pemancingan data terhadap akaun Facebook anda?
Untuk membantu anda melindungi diri daripada serangan, sila ambil maklum bahawa perkara yang berikut mungkin merupakan tanda pemancingan data:
- Seseorang menghubungi anda yang anda tidak kenali secara peribadi atau bukan rakan dalam talian
- Menerima mesej e-mel daripada sumber yang tidak diketahui atau tidak dijangka (sebagai contoh, “Terdapat masalah dengan pesanan anda” apabila anda belum memesan apa-apa)
- Mesej yang menekankan kesegeraan (sebagai contoh, “Pembayaran diperlukan sekarang...klik pautan di bawah”)
- Menerima permintaan terhadap maklumat peribadi (sebagai contoh, nombor keselamatan sosial atau kata laluan Facebook anda)
- Komunikasi yang tertumpu pada meyakinkan anda untuk mengklik pautan
Terkena pemancingan data? Bagaimanakah anda boleh mengetahuinya?
Berikut ialah beberapa tanda bahawa anda mungkin menjadi mangsa pemancingan data:
- Anda tiba-tiba tidak dapat mengakses mana-mana akaun Meta anda (termasuk akaun Facebook anda)
- Pelanggan anda memberitahu anda bahawa mereka menerima mesej, video atau imej yang luar biasa atau tidak sesuai daripada akaun anda
- Anda kini mengikuti orang atau halaman yang anda tidak mahu ikuti
- Akaun anda yang lain, seperti daripada institusi kewangan atau perkhidmatan e-mel, telah diceroboh
Amalan terbaik untuk melindungi akaun Facebook anda
Berikut ialah langkah proaktif yang boleh anda ambil untuk melindungi akaun anda:
Semak semua mesej. Semak dengan teliti alamat e-mel bagi mana-mana mesej yang anda terima. Penipu selalunya akan menggunakan alamat e-mel yang direka bentuk agar kelihatan seperti akaun sokongan Meta rasmi, tetapi sebenarnya bukan. Sebagai contoh, thisisnotarealmetaaccount@facelook.com.
Sebarang maklum balas daripada Facebook atau Meta hanya akan dihantar daripada salah satu akaun ini:
- fb.com
- facebook.com
- facebookmail.com
- instagram.com
- meta.com
- metamail.com
- support.facebook.com
Catatan: Baru-baru ini, kami mengenal pasti bukti pelaku berniat menghantar permintaan rakan kongsi Pengurus Perniagaan yang mengandungi pautan pemancingan data. Sementara kami melakukan siasatan terhadap isu ini, kami menggalakkan agar anda mengambil langkah berjaga-jaga kerana pemberitahuan tersebut datang daripada domain Meta yang sah (facebookmail.com). Sekiranya anda tidak mengenali orang atau perniagaan yang disebut dalam permintaan rakan kongsi tersebut, JANGAN klik pada apa-apa pautan yang disertakan.
Selalunya terdapat kesilapan ejaan dalam mesej atau perkara yang mungkin kelihatan mencurigakan buat anda. Percaya naluri anda.
Berhati-hati dengan perkara yang anda kongsi. Jangan beri nama pengguna atau kata laluan anda kepada mana-mana sumber yang tidak diketahui yang meminta butiran tersebut. Ingat bahawa Facebook tidak akan meminta nama pengguna atau kata laluan anda dalam mesej e-mel, atau menghantar kata laluan kepada anda untuk ditentusahkan dalam lampiran. Jangan jawab mesej yang meminta maklumat peribadi seperti maklumat keselamatan sosial atau perbankan anda, termasuk mesej yang berpura-pura adalah daripada Facebook.
Ingat bahawa anda boleh menerima pautan dan permintaan yang menipu dalam sebarang komunikasi digital. Ini termasuk mesej e-mel, mesej langsung (DM) Instagram dan Messenger.
Jika anda menerima mesej yang mencurigakan yang memaklumkan anda tentang isu berkenaan dengan akaun perniagaan Facebook anda, jangan balas. Sebaliknya, pergi ke Halaman Utama Sokongan Perniagaan Meta untuk menyemak status akaun anda dan ambil maklum sebarang isu sokongan.
Jangan klik pautan atau buka lampiran daripada sumber yang tidak diketahui. Kita cenderung mengklik pautan dalam e-mel atau mesej teks dengan cepat. Oleh itu, kami mengesyorkan agar anda tidak mengklik apa-apa, termasuk pautan, dalam sebarang mesej e-mel atau teks yang tidak diminta yang anda terima daripada sesiapa sahaja termasuk Facebook atau Meta.
Selain itu, jangan sekali-kali membuka atau memuat turun lampiran dalam mesej e-mel daripada perniagaan atau orang yang anda tidak kenali. Walaupun anda mengenali orang itu, sila berwaspada kerana mereka mungkin telah menghantar lampiran berniat jahat kepada anda secara tidak sengaja.
Guna kata laluan atau frasa laluan yang unik dan kukuh yang boleh anda ingat dengan mudah, untuk akaun Facebook anda. Langkah ini tidak semestinya dapat menghalang pemancingan data, tetapi akan mengukuhkan keselamatan akaun anda. Kami juga mengesyorkan agar anda mengelak daripada menggunakan semula kata laluan yang sama merentas berbilang laman web atau aplikasi.
Sediakan pengesahan dua faktor (2FA) pada akaun Facebook anda. Jika anda menyediakan pengesahan dua faktor, anda akan diminta untuk memasukkan kod log masuk khas atau mengesahkan percubaan log masuk anda setiap kali seseorang cuba mengakses Facebook daripada pelayar atau peranti mudah alih yang kami tidak kenali. Jangan sekali-kali kongsi kod yang disediakan melalui pengesahan 2 faktor dengan orang lain. 2FA ialah lapisan perlindungan akaun yang bagus dan disyorkan pada semua akaun anda.
Guna Alat Pemeriksaan Keselamatan untuk membantu dalam melindungi akaun anda. Ciri ini akan menerangkan beberapa tindakan yang boleh membantu dalam melindungi akaun anda. Harap maklum bahawa Pemeriksaan Keselamatan akan membantu anda menyediakan pengesahan dua faktor.
Didik semua pengguna akaun anda yang dibenarkan dengan berkongsi maklumat ini. Pastikan sesiapa sahaja yang dikaitkan dengan syarikat anda, termasuk rakan dan ahli keluarga, memahami cara melindungi akaun anda daripada pemancingan data.
Ketahui lebih lanjut tentang cara tambahan anda boleh mengelakkan spam dan penipuan.
Jika akaun Facebook anda diceroboh, berikut ialah perkara yang perlu dilakukan:
Malang tidak berbau. Jika anda menjadi mangsa serangan pemancingan data, penting untuk mengambil langkah berikut secepat mungkin:
- Jika anda tidak dapat log masuk ke akaun Facebook anda, laporkan akaun sebagai telah diceroboh.
- Jika anda dapat mengelog masuk ke akaun Facebook anda:
- Tetapkan semula kata laluan anda. Jika anda tersilap memasukkan nama pengguna atau kata laluan anda ke pautan yang berniat jahat, orang lain mungkin dapat mengelog masuk ke akaun anda. Menetapkan semula kata laluan anda membantu mengelakkan log masuk yang tidak diingini.
- Pergi ke akaun Facebook anda dan alih keluar sebarang log masuk/peranti yang tidak dibenarkan yang dilog masuk ke akaun anda.
- Semak log aktiviti anda untuk menentukan sama ada anda mengikuti sebarang akaun yang tidak diingini. Nyahsuka mana-mana halaman yang anda tidak pilih.
- Semak e-mel terkini yang dihantar oleh Facebook untuk menentukan sama ada terdapat sebarang isu berkaitan dengan akaun anda.
- Semak suapan Facebook anda untuk menentukan sama ada serangan itu mengakibatkan siaran yang tidak diingini/tidak sesuai. Padam sebarang siaran yang tidak disiarkan oleh anda atau seseorang yang dikaitkan dengan anda. Untuk melaporkan siaran dan memadamkan siaran itu daripada suapan anda, klik tiga titik yang terletak di sudut atas sebelah kanan …, kemudian klik Laporkan Siaran.
- Untuk akaun perniagaan, hubungi pasukan Sokongan Facebook dengan membuka kes melalui Halaman Utama Sokongan Perniagaan atau Pusat Bantuan Perniagaan (“Dapatkan sokongan”).
- Akses Facebook secara terus melalui alamat yang disenaraikan dalam bahagian Bantuan akaun anda (jangan guna sebarang alamat dalam mesej e-mel yang diragui).
Nota: Jika anda rasa anda telah menerima mesej yang mencurigakan di Messenger, laporkan mesej itu menggunakan fungsi laporan dalam sembang.
Langkah-langkah lain yang harus diambil
- Laporkan sebarang mesej yang mencurigakan di Messenger menggunakan fungsi laporan dalam sembang.
- Jika anda mengesyaki bahawa seseorang telah mengakses akaun kewangan anda atau jika pembayaran tanpa kebenaran telah dibuat, hubungi pihak bank anda dengan segera.
- Jika anda percaya jenayah telah dilakukan, kami amat mengesyorkan supaya anda melaporkan perkara ini kepada penguat kuasa undang-undang tempatan.
Pelaku jahat boleh menceroboh akaun Meta anda, dan menjejaskan perniagaan anda. Tetapi anda boleh kekal selamat. Meta sentiasa ada untuk menyokong anda.
Artikel Berkaitan
Mengelakkan spam dan komplot penipuan
Mengenal pasti komplot penipuan
Perkara yang perlu dilakukan jika anda terkena pemancingan data di Facebook
Mengapa saya menerima pemberitahuan e-mel daripada Facebookmail.com dan Metamail.com
Memastikan akaun Facebook anda selamat
Cara Facebook melindungi anda daripada spam
Melindungi akaun anda daripada aplikasi mudah alih yang direka untuk mencuri maklumat anda


